NEWCASTLE – Newcastle United dilaporkan semakin hampir untuk memecahkan rekod perpindahan kelab itu yang bersedia untuk membawa masuk penyerang Real Sociedad, Alexander Isak.
Rundingan antara kedua-dua kelab itu masih berjalan ketika ini dan Sociedad dilapor tiada masalah untuk menerima pembayaran secara berkala bagi membantu Newcastle mengelak daripada melanggar peraturan kewangan adil (FFP).
Pengarah sukan The Magpies, Dan Ashworth ketika ini sedang berada di Sepanyol untuk fasa terakhir rundingan mengenai terma peribadi dengan pemain berusia 22 tahun berkenaan yang sudah lama diinginkan mereka.
Kesediaan Newcastle untuk membayar dengan jumlah berkenaan sekali gus menyaksikan mereka mengatasi rekod perpindahan sebelum ini ketika membawa Joelinton dari Hoffenheim dan Bruno Guimaraes dari Olympique Lyon yang bernilai £40 juta (RM211.89 juta).
Skuad kendalian Eddie Howe itu terpaksa mencari seorang lagi penyerang baharu sebagai sokongan kepada Callum Wilson yang turut berdepan isu kecergasan ekoran baru pulih daripada masalah kecederaan.
Penyerang Sociedad itu berjaya meledak 44 gol dalam 132 penampilannya bersama pasukan yang beraksi di La Liga itu selain dia juga dikatakan sedang dipantau secara dekat oleh Arsenal dan Juventus.
Newcastle mengakui mereka akan terus aktif dalam pasaran perpindahan sehingga hari terakhir pada 1 September nanti dilaporkan turut cuba untuk mendapatkan pemain tengah Manchester United, Scott McTominay. – AGENSI