MOSCOW – Seorang pegawai atasan Kremlin di Ukraine terbunuh dalam letupan bom kereta hanya beberapa hari selepas anak perempuan sekutu rapat Presiden Vladimir Putin, Darya Dugina, dibunuh dengan cara sama, lapor akhbar The Sun, semalam.
Letupan yang mengorbankan Ivan Sushko, 40, itu telah dirakam televisyen litar tertutup (CCTV).
Sushko ialah seorang pegawai di wilayah Zaporizhzhia yang dikuasai Moscow, dan terbunuh dalam letupan yang menyebabkan keretanya musnah hari ini.
Dia dilaporkan sedang membawa anak angkatnya ke tadika semasa menjadi sasaran serangan, tetapi tetapi kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sushko merupakan Ketua Mykhailivka, pentadbiran tentera sivil di rantau itu yang menempatkan loji nuklear terbesar di Eropah iaitu di Zaporizhzhia.
“Sebuah alat letupan telah diletakkan di bawah tempat duduk keretanya,” kata pegawai kanan Russia di wilayah yang diduduki, Vladimir Rogov.
Rogov berkata, serangan itu dilakukan oleh pengkhianat di rantau tersebut dan berikrar untuk menjejaki mereka.
Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Penyiasatan Russia, Alexander Bastrykin mengumumkan siasatan jenayah dilancarkan ke atas pembunuhan Sushko. – Agensi