MADRID – Juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez diberi lampu hijau untuk kembali ke litar bagi menjalani latihan intensif sekali gus berpeluang cerah untuk kembali semula ke perlumbaan MotoGP.
Sebagai rekod, Marquez telah mengalami kecederaan serius di bahagian lengan kanannya sejak musim lalu sehingga terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Marquez, perkembangan positif itu dimaklumkan kepadanya oleh pegawai perubatan selepas melakukan rawatan susulan kelmarin bagi melihat tahap kecederaan yang dialami ketika ini.
“Secara jujur, saya tidak pernah berhenti berharap untuk berlumba semula dalam perlumbaan MotoGP musim ini. Cuma, buat masa ini saya belum cergas, tetapi sudah hampir 80 peratus pulih sepenuhnya.
“Doktor pun sudah memberikan lampu hijau untuk saya menjalani latihan intensif bersama jentera dan saya jangkakan ia hanya boleh direalisasikan pada sesi latihan rasmi di Litar Misano pada bulan depan,” kata pelumba pasukan Repsol Honda itu.
Sementara itu, doktor yang merawat Marquez, Dr. Joaquin Sanchez Sotelo mengesahkan tahap kecederaan pelumba kelahiran Sepanyol itu semakin baik selepas tulang yang patah sebelum ini sudah bercantum semula.
“Selepas bertemu dengan Marquez hari ini, saya melihat dia sudah bersedia untuk kembali bersaing secara kompetitif kerana otot di bahagian lengan kanannya sudah semakin pulih dan tulang yang patah juga sudah bercantum kembali,” katanya. – AGENSI