fbpx

Mahkamah: MB Perlis sah bercerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sova Ali ketika hadir di Mahkamah Syariah Hulu Langat di sini hari ini.

KAJANG – Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini hari ini mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man terhadap isterinya, Sova Ali, pada April lalu.

Menurut peguam syarie, Nurul Atikah Abd. Rashid mewakili Azlan, 63, selaku defendan Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab. Halim mengesahkan pasangan itu bercerai dengan talak satu pada prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Pengesahan lafaz cerai itu dibuat berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Siasatan lafaz cerai telah pun dibuat dan disahkan di mahkamah hari ini. Berkenaan hal-hal tuntutan terhadap defendan (Azlan), pihak kami hanya bersedia sahaja sekiranya ada tuntutan daripada plaintif, kalau ada, tiada masalah. Terpulang pada pihak sebelah sana.

“Punca perceraian tidak didedahkan kerana perkara ini sensitif, dibimbangi mengaibkan, cuma sudah lafaz cerai dan disahkan oleh mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas tamat prosiding.

Sementara itu, peguam syarie, Muhammad Syafiq Ibrahim yang mewakili Sova, 40, selaku plaintif mengesahkan bahawa permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan anak guamnya telah disahkan oleh mahkamah.

Beliau berkata, pada ketika ini, tiada sebarang tuntutan berkaitan harta sepencarian dan beberapa tuntutan lain.

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq tidak menolak kemungkinan bahawa anak guamnya akan membuat tuntutan sekiranya perlu.

Pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah itu sepatutnya berlangsung pada 4 Julai lalu namun ditangguhkan kerana Azlan tidak hadir pada tarikh tersebut. Saman itu difailkan di sini kerana Sova bermastautin di Bangi.

Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 21 Mac 2010 dan perkahwinan didaftarkan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPS).

Azlan kemudian melafazkan cerai terhadap Sova pada 23 April 2022 di Jakarta, Indonesia. Sepanjang perkahwinan selama 12 tahun itu pasangan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, Sova ketika ditemui berkata, beliau diceraikan oleh bekas suami di hadapan ibunya sejurus balik daripada umrah.

“Bekas suami cakap ada ‘kejutan’ selepas balik dari Arab Saudi. Rupa-rupanya lafaz cerai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI