PASIR MAS – Kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan lebih 105,050 permohonan hak tanah kerajaan dengan keluasan 188,730.40 hektar untuk diberikan kepada rakyat sejak 32 tahun lalu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, geran tanah tersebut telah diserahkan kepada pemohon di beberapa daerah termasuk di Gua Musang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas.
Menurutnya, terbaharu, kerajaan negeri telah menyerahkan geran tanah kepada 100 orang penduduk di Pasir Mas hari ini selepas permohonan mereka diluluskan.
“Jumlah itu menjadikan seramai 6,120 individu dengan keluasan 10,117.93 hektar menjadi pemilik tanah di daerah Pasir Mas.
“Pemilikan tanah kerajaan itu diluluskan mengikut kriteria tertentu sama ada mereka mahu membina rumah, pertanian dan beberapa sebab lain lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Menteri Besar Jjupo Mato Dengan Rakyat di Bandar Baru Pasir Mas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Ahmad, kerajaan negeri sentiasa peka terhadap masalah pemilikan tanah oleh rakyat di Kelantan.
Katanya, kelulusan hak milik tanah itu menjadikan rakyat dapat meneruskan aktiviti seharian dan menjaga kawasan yang diusahakan sekali gus dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang. – KOSMO! ONLINE