SUNGAI SIPUT – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meningkatkan pengambilan guru di sekolah-sekolah tahun ini melebihi jumlah yang biasa direkodkan iaitu sekitar 4,000 hingga 5,000 orang pada satu-satu masa.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihak kementerian menjalinkan kerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan bagi mencari jalan agar peningkatan jumlah pengambilan guru pada tahun ini dapat dilaksanakan.
“Insya-Allah tahun ini juga kita akan teruskan pengambilan dan KPM sedang ikhtiarkan bersama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk ambil jumlah yang lebih ramai berbanding dahulu.
“Kalau dahulu biasanya setahun sekitar 4,000 hingga 5,000 (pengambilan guru), kita sasarkan lebih kali ini. Kita sedang usahakan untuk pengambilan guru tahun 2022 ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Wacana Dr. Radzi Jidin Bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran Dan Pusat Komersial Orang Asli One Stop Center di sini .
Mengulas lanjut, Radzi berkata, masalah pengambilan guru yang tertangguh sebagaimana dilaporkan sebelum ini dapat diatasi apabila guru-guru dengan kebolehan mendidik matapelajaran tertentu diberikan tempat di sekolah-sekolah memerlukan.
“Semasa saya mula masuk (sebagai menteri), terdapat 18,702 kekosongan tetapi ia sudah terlalu lama kerana isu yang dikatakan ketika itu adalah kekurangan bekalan (guru).
“Bagaimanapun, setelah kita perhalusikan lagi, masalahnya ialah mismatch (ketidaksepadanan) antara opsyen graduan dengan kekosongan opsyen di sekolah. Sebab itulah kita perkenalkan buat pertama kali dalam sejarah pengambilan berdasarkan kluster mata pelajaran.
“Kalau dulu graduan pendidikan dalam bidang fizik, dia kena tunggu kekosongan opsyen fizik di sekolah baru dia boleh masuk tapi kita bincang kalau dia belajar fizik mesti dia tahu matematik. Jadi melalui pendekatan ini, kita akan dapat pool (kelompok guru) yang lebih besar. Sebab itu jumlah dan peratusan pengambilan lebih tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE