BANGKOK – Seorang petani di Thailand mati dipijak gajah liar di sebatang jalan dalam kejadian di luar sempadan Taman Negara Kaeng Krachan dekat Hua Hin, dalam wilayah Prachuap Khiri Khan, kelmarin, lapor laman berita Thaiger.
Pengarah taman negara tersebut, Pichai Watcharawongpaiboon berkata, dia diberitahu bahawa penduduk tempatan itu ditemui mati pada waktu pagi dan disyaki dipijak oleh kawanan gajah.
Pasukan polis dari Balai Polis Nong Plub, pegawai taman negara, doktor dan petugas penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan mengenainya.
Mereka menemui mayat mangsa yang berusia 52 tahun dikenali sebagai Suraphon, terbaring dalam keadaan berlumuran darah di sebelah tiang konkrit.
Polis berkata, badannya mengalami kecederaan parah, manakala doktor menyatakan bahawa mangsa meninggal dunia sekitar 10 jam sebelum mereka tiba.
Tapak kaki gajah turut ditemui di sekitar lokasi kejadian. Pokok-pokok di sekitarnya juga menunjukkan kesan dimakan oleh kawanan gajah, kata pegawai taman negara.
Penduduk tempatan memberitahu polis bahawa pada malam sebelumnya, mereka ada mendengar bunyi jeritan, namun takut untuk keluar memeriksa keadaan.
Seorang penduduk tempatan bernama Wichian Mattri kemudian menemui mayat Suraphon pagi hari kejadian ketika sedang memandu di sekitar kampung tersebut lalu menghubungi pihak berkuasa.
Menurut Wichian, pada malam tersebut dia ada mendengar bunyi beberapa ekor gajah berjalan di kampung berkenaan dari hutan La-oo dan mengesyaki kawanan gajah itu mencari makanan untuk dimakan.
Buat masa ini, tidak dijelaskan sama ada Suraphon dibunuh oleh seekor atau beberapa ekor gajah. Mayatnya dibawa ke Hospital Hua Hin untuk proses bedah siasat.
Suraphon merupakan seorang petani yang tinggal berseorangan di sebuah kebun tidak jauh dari lokasi kejadian.
Wichian berkata, dia mungkin sedang mengutip kayu api daripada pokok asam apabila bertembung dengan kawanan gajah liar. – AGENSI