PETALING JAYA – Kumpulan Affin Bank mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) dan selepas zakat berjumlah RM408.5 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 (1H2022) dengan pertumbuhan sebanyak 44.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pencapaian PBT yang lebih memberangsangkan bagi 1H2022 itu dipacu oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi serta pendapatan perbankan Islam, selari dengan pelan pertumbuhan AIM22.
Menurut beliau, Affin Bank dan Affin Islamic Bank terus menjadi penyumbang utama kepada Kumpulan yang di mana Affin Islamic Bank merekodkan PBT yang melonjak tinggi sebanyak 70.5 peratus kepada RM147.9 juta hasil pertumbuhan pembiayaan dan elaun rosot nilai yang lebih rendah.
“Kumpulan Affin Bank akan terus berwaspada mengambil kira suasana geopolitik dan makro ekonomi yang mencabar.
“Kami akan terus memastikan kecairan, kualiti kredit dan tahap rizab modal kami mencukupi bagi mendepani sebarang ketidaktentuan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Wan Razly menjelaskan, Affin Islamic Bank terus menjadi penyumbang signifikan kepada Kumpulan Affin dan ini dipamerkan menerusi PBT mereka yang telah meningkat sebanyak 70.5 peratus kepada RM147.9 juta hasil daripada pertumbuhan pembiayaan dan elaun rosot nilai yang lebih rendah.
PBT Affin Islamic Bank yang lebih baik ini juga dipacu oleh pertumbuhan pembiayaan yang
memberangsangkan pada kadar 18.6 peratus dari tahun ke tahun dan elaun rosot nilai yang lebih rendah.
Affin Islamic Bank juga mencatatkan peningkatan ketara dalam aspek kualiti aset iaitu sebanyak 0.57 peratus dalam Pembiayaan Terjejas Kasar kepada 0.98 peratus pada 1H2022 berbanding 1.55 peratus pada 1H2021.
Sehingga 30 Jun 2022, jumlah keseluruhan pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan Kumpulan
dari tahun ke tahun telah meningkat sebanyak 15.0 peratus kepada RM55.4 bilion, kebanyakannya disumbang oleh pertumbuhan sebanyak 21.6 peratus dalam segmen Perbankan Komuniti.
Pinjaman Perumahan telah meningkat sebanyak 22.5 peratus manakala pinjaman kewangan kereta pula turut meningkat sebanyak 11.4 peratus manakala bagi deposit pula, Akaun Semasa Akaun Simpanan (CASA) dicatatkan pada RM13.9 bilion bagi tempoh berakhir pada 30 Jun 2022 dan nisbah CASA berada pada kadar 21.50 peratus.
Jumlah deposit daripada pelanggan Kumpulan turut meningkat dari tahun ke tahun sebanyak
19.8 peratus kepada RM64.5 bilion sehingga 30 Jun 2022 di mana inisiatif CASA yang dilaksanakan terus membuahkan hasil yang positif. -KOSMO! ONLINE