VALENCIA, SEPANYOL – Seorang lelaki meninggal dunia selepas disondol seekor lembu jantan yang naik minyak selepas tanduknya dibakar dalam sebuah festival di Sepanyol, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Rakaman video menunjukkan Adrian Martinez Fernandez, 24, ditanduk haiwan itu sambil diperhatikan penonton. Beberapa lelaki lain cuba membantunya, namun menurut laporan, limpa Fernandez pecah akibat disondol lembu tersebut.
Dalam kejadian tragis pada Ahad lalu, lembu jantan itu menanduk Fernandez selepas tanduknya dibakar semasa festival berkaitan keagamaan berlangsung di bandar Valencia.
Mangsa dikatakan datang dari bandar Almansa untuk mengambil bahagian dalam sambutan tersebut, namun niatnya berakhir dengan tragedi apabila ditanduk.
Lembu jantan itu mempunyai dua biji bola yang diperbuat daripada bahan mudah terbakar serta diletakkan pada kedua-dua tanduknya.
Ia merupakan satu pemandangan biasa pada mana-mana acara larian lembu. Lembu berkenaan kemudian akan dilepaskan ke jalanan.
Kesakitan akibat api difahamkan menjadi penyebab haiwan itu naik minyak lalu merempuh Fernandez. – Agensi