PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Chua’ yang disyaki ahlong di Kuala Langat semalam.
Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menangkap suspek di tempat awam di Kuala Langat pukul 4 petang semalam untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, mangsa seorang wanita tempatan berusia 49 tahun membuat laporan polis pada 30 Mac lalu setelah suspek mengugut untuk membunuh mangsa dalam satu perbualan telefon.
“Dalam perbualan tersebut, suspek berusia 32 tahun meminta mangsa untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM5,000 setelah mangsa lewat membayar wang pinjaman mengikut masa yang ditetapkan.
“Hasil siasatan mendapati mangsa membuat pinjaman wang pada Mac lalu, sebanyak RM7,000 dengan sebuah syarikat pemberi pinjam wang di Seksyen Lapan, Petaling Jaya tetapi dikehendaki membayar balik sebanyak RM10,000 seminggu selepas menerima wang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ezanee berkata, mangsa telah berbuat demikian seperti diarahkan suspek dengan membayar wang sebanyak RM10,000 tetapi suspek masih mengugut untuk membunuh mangsa.
“Suspek ditahan reman selama tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1951,” ujarnya. – K! ONLINE