TUMPAT – Polis merampas sebanyak 50 kotak yang mengandungi 500,000 batang rokok seludup bernilai RM350,000 yang ditinggalkan di tebing sungai di Pasir Pekan di sini hari ini.
Rampasan pada pukul 4.15 pagi menerusi Op Bersepadu itu dijalankan bersama 12 agensi di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, semasa serbuan dijalankan, kotak-kotak rokok itu sudah berada di kawasan tebing sungai dalam tempoh beberapa jam.
Menurutnya, anggota polis telah menjalankan pemerhatian di kawasan tersebut, namun tiada yang datang mengambil kesemua rokok-rokok itu.
“Siasatan mendapati, rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan akan dijual untuk pasaran tempatan.
“Kesemua rokok-rokok itu dipercayai ditinggalkan di tebing sungai sebelum ia diambil oleh kenderaan untuk dibawa ke lokasi-lokasi tertentu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini hari ini.
Menurut Amran, dalam operasi sama, pihaknya turut merampas sebanyak 120 liter petrol anggaran RM246, 840 liter diesel bernilai RM1,806 bersama satu alat penyukat dan satu mesin pam dan saluran paip getah di Pengkalan Kubor kira-kira pukul 4.15 petang semalam.
Katanya, selain itu, Majlis Daerah Tumpat turut mengeluarkan sebanyak 48 notis kesalahan mengikut Akta 133 Jalan Parit Bangunan 1974 yang didapati mengubah suai premis dan rumah persendirian tidak mengikut spesifikasi atau penambahan bangunan tambahan. – KOSMO! ONLINE