SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan membentangkan laporan terkini ajaran Hadi Minallah dalam mesyuarat Jawatan Kuasa Pengawalan Akidah, esok.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, kerajaan negeri menerusi JAIS sentiasa peka terhadap sebarang ajaran sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam yang syumul.
Katanya, ajaran Hadi Minallah telah mula dipantau sejak Februari lalu di negeri ini.
“Ajaran ini (Hadi Minallah) dan ajaran sesat lain sentiasa berada dalam perhatian kami.
“Saya mendapat makluman daripada JAIS bahawa laporan terkini tentang ajaran ini akan dibentangkan dalam satu Mesyuarat Jawatan Kuasa Pengawalan Akidah yang akan berlangsung esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah turut dikesan berlaku di Selangor selain di dua negeri lain iaitu Johor dan Kedah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dipetik berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan berhubung ajaran sesat di ketiga-tiga negeri terbabit bagi tujuan pendakwaan undang-undang sekiranya ia boleh disabitkan.
Jelas beliau, semua keputusan berkaitan ajaran sesat seperti tindakan undang-undang atau menfatwa bagaimanapun diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing. -KOSMO!ONLINE