MELAKA – Balu Pegawai Bomba Kanan II, Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh terharu jasa dan pengorbanan suaminya terus dihargai kerajaan negeri.
Noraida Che Noh, 40, berkata, dia tidak menyangka arwah suaminya menerima anugerah Bintang Gagah Perkasa (BGP) memandangkan sudah hampir setahun meninggal dunia.
“Alhamdulillah, saya terharu dan tak sangka masih ada penghargaan buat arwah walaupun dia sudah tiada.
“Yang Dipertua Negeri Melaka (Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam) masih menghargai pengorbanan arwah untuk bangsa dan negara,” katanya selepas majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Melaka di Seri Negeri, di sini hari ini.
Terdahulu, arwah Mohd. Diya yang diwakili Noraida dianugerahkan BGP sempena Sambutan Ulang Tahun Mohd. Ali yang ke-73.
Mohd. Diya terkorban semasa menyerti operasi menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat di sini pada Oktober 2021.
Bercerita lanjut, Noraida memberitahu, kehidupannya bersama empat anak seperti biasa. Anak-anak juga sudah boleh menerima pemergian ayah mereka.
“Anak sulung kini menuntut di Kolej Komuniti dalam jurusan automotif manakala anak kedua masih bersekolah. Anak ketiga pula yang berusia 13 tahun mula menunjukkan minat terhadap pekerjaan bapanya.
“Anugerah yang diterima hari ini diharap menjadi pembakar semangat kepada anak-anak untuk mengikut jejak langkah ayah mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.