NEW YORK – Bekas pemain tenis No.1 dunia, Novak Djokovic mungkin tidak dibenarkan beraksi pada kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang akan bermula 29 Ogos ini kerana enggan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Bagaimanapun, pemain Serbia itu berharap beberapa perubahan baharu terhadap peraturan Covid-19 di Amerika Syarikat membuka ruang untuk dia memburu gelaran keempat pada kejohanan tersebut.
Kerajaan Amerika Syarikat baru-baru ini memperkenalkan peraturan baharu berhubung tempoh kuarantin serta penjarakan sosial, sekali gus dianggap memberi kelebihan buat Djokovic.
Bekas pemain tenis Amerika Syarikat, Andy Roddick menjelaskan, peraturan baharu itu hanya melibatkan rakyat negara tersebut selain menegaskan, Djokovic perlu berdepan akibat atas pilihannya sendiri.
“Bagi saya, sesuatu yang amat malang kerana dia tidak dapat datang untuk beraksi di kejohanan Terbuka Amerika Syarikat. Bagaimanapun, itu adalah pilihannya dan dia juga perlu hormati peraturan di sini.
“Kita semua perlu bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan atas pilihan yang dibuat. Saya akui kejohanan ini akan lebih baik dengan kehadirannya, namun penganjur tidak boleh mengubah polisi kerajaan,” katanya.
Sebagai rekod, Djokovic pernah ‘dihalau’ dari Australia awal tahun ini kerana kekal dengan pendirian untuk tidak mendapatkan vaksin sehingga menyebabkan dia tidak dapat beraksi pada Terbuka Australia. – AGENSI