PETALING JAYA – Berita mengenai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjalani hukuman di penjara terus hangat diperkatakan sehingga menjadi bahan bualan di media sosial.
Terbaharu, tular sekeping gambar sel penjara ‘kayangan’ untuk golongan kenamaan (VIP) yang dikatakan bakal dihuni bekas Perdana Menteri tersebut.
Bagaimanapun, gambar tersebut telah disangkal Jabatan Penjara Malaysia dan menyatakan ia sel penjara di Switzerland.
Menerusi laporan, gambar tersebut adalah sel di Penjara Champ-Dollon, Switzerland yang lengkap dengan perabot seperti katil, almari serta dilengkapi dengan bilik air peribadi.
Difahamkan, penjara tersebut lebih memberikan tumpuan untuk proses pemulihan berbanding melayan mereka seperti banduan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan yang timbul berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi layanan istimewa di penjara.
Jabatan itu menerusi hantaran yang dimuat naik muat di Facebook hari ini meminta penyebaran maklumat palsu berhubung kemudahan di penjara untuk orang kenamaan (VIP) dihentikan segera.- KOSMO! ONLINE.