TEMERLOH – Sekali lagi Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh melakar sejarah apabila berjaya melakukan 120 pembedahan mata secara besar-besaran tanpa penglibatan tenaga luar dalam tempoh empat hari sahaja.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pembedahan itu membabitkan 100 peratus tenaga kerja Hoshas dengan seramai enam orang pakar oftalmologi, sembilan pegawai perubatan dan lebih 40 kakitangan sokongan hospital berkenaan.
“Bukan itu sahaja, Hoshas turut mencatat sejarah dengan pembedahan mata yang ke 1,000 hari ini dan dijangka mencapai 1,500 pembedahan pada hujung tahun ini.
“Sehingga Julai 2022 jumlah pembedahan katarak tertunggak (backlog) adalah sebanyak 411 orang pesakit dan mereka terpaksa menunggu sehingga empat bulan untuk pembedahan. Namun melalui karnival ini, masa menunggu hanya antara empat hingga enam minggu sahaja,”katanya selepas merasmikan Karnival Katarak Hoshas di sini, hari ini.
Karnival yang bermula dari 22 hingga 25 Ogos itu telah memberi manfaat kepada pesakit-pesakit dari lapan buah daerah iaitu Temerloh, Maran, Jerantut, Maran, Bera, Bentong, Raub dan Kuala Lipis.
“Karnival ini melibatkan pesakit berumur 60 tahun ke atas yang majoritinya adalah daripada golongan berpendapatan rendah.
“Seramai 32 pesakit dalam golongan B40 serta asnaf telah menerima kanta intrakular secara percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan B40 selain sumbangan dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Negeri Pahang (Muip),”ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, peningkatan usia individu antara faktor peningkatan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti katarak sekaligus menyebabkan penambahan pembedahan penyakit tu setiap tahun.
Justeru katanya, karnival itu akan dilaksanakan dua kali setahun bermula tahun 2023 bagi mengurangkan jumlah pesakit di samping mempercepatkan tempoh menunggu pembedahan katarak ini. – KOSMO! ONLINE.