fbpx

Aliff Syukri ajak duet, Jamal Abdillah letak syarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamal sedia berpadu suara bersama Aliff andai usahawan itu mengikut syarat yang ditetapkannya.

KUALA LUMPUR – Raja Pop Datuk Jamal Abdillah sedia menerima pelawaan usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri andai diajak berduet asalkan mengikut syarat yang ditetapkannya.

Kata penyanyi itu, sesiapa yang berhasrat mahu berpadu suara dengannya harus menyanyi sepenuh hati selain tidak sumbang.

“Kita pun tahu dia bukan penyanyi, tetapi dia berkarya sebagai sebahagian daripada promosi bisnes.

“Bagi saya, jika mereka mengajak berduet saya anggap ia sebagai penghormatan dan kita pun dapat mengikuti ‘trend’ semasa untuk terus kekal relevan.

“Mungkin kalau direalisasikan, syarat utama saya adalah dia kena menyanyi dengan serius dan tidak sumbang sebab kita pun akan sakit telinga. Jadi orang tidak menyalahkan saya.

“Tak perlu pun belajar dengan guru vokal. Cuma saya akan turunkan ‘key’ suara biar seimbang dengan usahawan tersebut,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik Zarania Beauty di ibu negara petang semalam.

Penyanyi Gadis Melayu itu bersama isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin menjadi rakan kongsi bagi produk kecantikan tersebut.

Sementara itu, ditanya lagi mengenai pelawaan duet yang hangat diperkatakan ramai, akuinya sehingga kini tiada sesiapa menghubunginya untuk berbincang.

“Saya ada dengar mengenai hasrat usahawan itu tetapi tidak tahu sejauh mana dia serius. Sampai sekarang pihak sana masih belum mengusulkan apa-apa,” katanya.

Mengenai pandangannya terhadap trend usahawan merakamkan lagu, kata Jamal, semua pihak perlu berlapang dada memandangkan ia hanya sebahagian daripada strategi
perniagaan.

“Kita tak boleh salahkan dia kalau dia berbuat demikian kerana usahawan harus menggunakan pelbagai kaedah untuk melariskan produk.

“Kita janganlah tengok dia sebagai penyanyi, sebaliknya kita anggap saja dia berkarya demi kelangsungan bisnes.

“Secara peribadi saya rasa sesiapa pun boleh menyanyi dan tiada masalah jika dia menggunakan mekanisma tersebut untuk perniagaan.

“Orang pun boleh menilai sama ada dia menyanyi secara serius atau sekadar mencari publisiti bagi keperluan bisnes yang diusahakannya,” ujarnya.

Terdahulu, Aliff yang dikecam susulan kontroversi muzik video (MV) Baby Sayang menyatakan mahu berduet dengan beberapa penyanyi popular termasuk Jamal.

Selain Jamal, penghibur lain yang berada dalam senarai ialah penyanyi nombor satu negara ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Awie dan Anuar Zain.

Aliff atau Aliff Syukri Kamarzaman mendakwa dirinya penyanyi nombor satu Malaysia kerana lagu-lagunya sentiasa trending setiap kali dimuat naik di YouTube. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI