JAKARTA – Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter menggegarkan pantai Indonesia lewat kelmarin, demikian menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), menyebabkan orang ramai bertempiaran meninggalkan kediaman mereka tetapi tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan setakat ini.
Gempa cetek itu berlaku di perairan barat daya Pulau Sumatera, sekitar pukul 9.30 malam (waktu tempatan). Lokasi paling hampir dengan bencana tersebut adalah Bengkulu, wilayah Sumatera Selatan dan Lampung.
Bencana itu mengakibatkan penduduk di Sumatera Selatan dan Bengkulu bergegas keluar dari kediaman masing-masing, demikian menurut media tempatan dan saksi yang dihubungi oleh agensi berita AFP.
Pihak berkuasa tidak melaporkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan sejurus selepas gempa berlaku, namun USGS menganggarkan terdapat kemungkinan berlaku kerosakan di daratan di Pulau Sumatera. Ancaman tsunami juga tidak dikeluarkan.
Bagaimanapun, Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia (BKMG) menasihatkan penduduk supaya ‘berwaspada dengan kemungkinan berlakunya gegaran susulan’.
BKMG mengklasifikasikan gegaran itu sebagai gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter. Pusat gempa pula berada di tengah laut, kira-kira 64 kilometer dari pantai.
Indonesia terletak dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik, menyebabkan ia kerap mengalami gempa bumi.
Gempa bumi kuat terakhir yang menggegarkan Indonesia adalah pada Mac lalu, apabila gegaran bermagnitud 6.7 melanda pantai barat Pulau Sumatera. Penduduk pulau Nias dan Hibala di Sumatera Utara dilaporkan terjaga akibat gegaran itu. Ia diikuti dengan beberapa siri gegaran susulan yang kuat.
Pada Februari tahun ini, gempa bermagnitud 6.2 menggegarkan rantau utara Sumatera dan mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan orang terkorban dan berpuluh-puluh yang lain cedera. – AFP