PETALING JAYA – Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di empat negeri sehingga pukul 10 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, cuaca tidak menentu itu melibatkan seluruh Pulau Pinang manakala beberapa kawasan di Kedah, Melaka serta Johor.
“Bagi Kedah melibatkan kawasan Langkawi manakala di Melaka pula di kawasan Melaka Tengah dan Jasin.
“Sementara itu di Johor, kawasan yang terjejas di Tangkak, Muar dan Batu Pahat,” katanya di sini hari ini.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE