PETALING JAYA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Nestle Product Sdn. Bhd. (Nestle) menjalin kerjasama dalam memberi pengetahuan dan kesedaran berkaitan keperluan pemakanan halal serta kepentingan amalan gaya hidup sihat menerusi Program Halal@School with Nestle.
USIM dalam kenyataan berkata, sehubungan itu, kerjasama pintar dan strategik tersebut dimeterai menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara pihaknya dan Nestle di Bangi, semalam.
“Program Halal@School with Nestle adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) dianjurkan oleh Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) USIM dengan kerjasama Nestle Malaysia menyasarkan penglibatan murid sekolah rendah.
“Murid akan dilibatkan dalam sesi pembelajaran menerusi perkongsian ilmu dan kesedaran berkenaan halal dalam kalangan masyarakat dari setiap lapisan umur,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, program Halal@School with Nestle bertemakan Nutrisi Halal, Pendidikan Cemerlang memberi penekanan kepada pemahaman berkaitan kepentingan pengambilan makanan halal dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam sekali gus cakna kepada produk makanan halal, bersih, selamat dan sihat.
Sementara itu, Naib Canselor Usim, Prof. Dr. Sharifuddin Md. Shaarani berkata, kerjasama tersebut salah satu langkah proaktif industri dalam menyokong program penyebaran ilmu kepenggunaan halal oleh pihak universiti kepada masyarakat.
“IFFAH USIM merupakan pusat tanggungjawab universiti menfokuskan keilmuan fatwa dan halal untuk mendidik masyarakat memacu kecemerlangan dan sinergi kelestarian fatwa serta halal di seluruh dunia.
“Dengan termeterainya perjanjian MoA antara IFFAH dengan Nestle Malaysia, diharap aktiviti-aktiviti berbentuk CSR dapat dilaksanakan lebih rancak pada masa akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE