fbpx

SUKIPT ‘kilang’ lahir semula atlet berbakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Masrizal bergambar bersama atlet SUKIPT 2022 di UPSI, Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

TEMASYA Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022 yang melabuhkan tirai pada Ahad lalu dianggap detik paling bermakna buat 6,500 atlet yang berkampung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ini kerana, temasya dua tahun sekali itu tertangguh pada 2020 akibat Covid-19 menyebabkan ramai atlet institusi pengajian tinggi (IPT) ‘hilang’ meninggalkan sukan sekali gus menyebabkan negara kehilangan bakat baharu.

Kemunculan semula SUKIPT memberi nafas baharu kepada atlet-atlet IPT untuk kembali bersaing dalam temasya kompetitif dan memberi ruang kepada pelajar aktif dalam sukan semula.

Misi itu dianggap tercapai apabila lebih 66 kontinjen bersaing dalam 21 acara pada kejohanan bermula 12 hingga 21 Ogos lalu.

SUKIPT edisi ke-5 memperlihatkan beberapa kejayaan cemerlang yang membuktikan acara ini menjadi salah satu medan utama buat atlet IPT memperagakan kebolehan mereka.

Sebanyak 46 rekod kejohanan dipecahkan dengan 13 rekod di gelanggang olahraga dan 18 di kolam renang. Acara memanah turut cemerlang apabila 15 rekod dicatat melibatkan lapan rekod acara compound dan tujuh rekod acara recurve.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berharap lebih ba­nyak acara dan penglibatan kontinjen IPT untuk SUKIPT 2024.

Pandemik Covid-19 menyebabkan bilangan penyertaan atlet berkurangan, jadi beliau berharap selepas keadaan kembali pulih, SUKIPT akan menjadi lebih gilang-gemilang.

Kecemerlangan ini membuktikan SUKIPT sentiasa relevan kepada usaha-usaha KPT untuk melahirkan lebih ramai atlet yang berpotensi diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Usaha-usaha ini perlu dite­ruskan dengan perancangan yang teliti agar setiap atlet yang lahir daripada SUKIPT terus mendapat pendedahan dan peluang sewajarnya untuk terus berjaya ke peringkat tertinggi.

“Hakikatnya, kecemerla­ngan ini membuktikan bahawa SUKIPT sentiasa relevan dalam usaha KPT untuk melahirkan lebih ramai atlet IPT yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya yakin selepas ini beberapa acara sukan lain juga akan dipertimbangkan pada edisi yang seterusnya,” katanya kepada Kos­mo!.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, pihaknya mahu memastikan SUKIPT menjadi ‘Feeder’ dalam melahirkan atlet kepada persatuan sukan dan juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Pertama sekali kita melihat SUKIPT 2022 hebat dari segi pe­nganjurannya, tetapi perkara pa­ling penting adalah bagaimana kita hendak meningkatkan prestasi atlet dalam kalangan IPT.

“Sebenarnya kita banyak belajar selepas pulang dari Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Thailand. Kita lihat banyak rekod kejohanan dipecahkan di SUKIPT, tetapi atlet kita belum mampu pecah rekod kebangsaan meskipun SUKIPT sudah memasuki edisi yang kelima.

“Jadi kita harap, setiap kali SUKIPT diadakan, kita perlu meletakkan satu tanda aras tinggi buat atlet. Paling penting prestasi atlet perlu bergerak seiring supaya KBS, Majlis Sukan Negara atau persatuan sukan melihat atlet-atlet ini untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI