PETALING JAYA – “Semangat kami tidak lemah dan akan terus berjuang bagi memastikan Barisan Nasional (BN) diangkat semula menjadi kerajaan yang tulen tidak seperti hari ini.”
Demikian jelas Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ketika memberikan pandangan beliau selepas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang tetap menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Jelasnya, rakyat hari ini perlu membuka mata dan bangkit memperjuangkan perkara salah yang telah dibuktikan menerusi keputusan hari ini yang menjadikan Najib sebagai kambing hitam pihak tertentu.
“Kenapa Najib sahaja yang didakwa dan dihukum, mana pergi Jho Low yang terang-terang melarikan dana RM2.6 juta kenapa samapai sekarang masih belum jumpa dan turut didakwa?
“Kita mahukan kerajaan BN yang berkuasa, tidak seperti kerajaan campuran seperti hari ini. Selagi mereka ada kuasa, selagi itu akan ada lagi keputusan tidak adil seperti ini,” jelasnya kepada Kosmo! sebentar tadi.
Terdahulu, Najib kekal dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.
Keputusan sebulat suara itu (unanimous) dibuat panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tengku Mat.
Dalam penghakimannya, ketika membaca keputusan itu Hakim Tengku Maimun mendapati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi dan panel-panel Hakim Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah selamat dan tidak perlu diubah. – KOSMO! ONLINE.