MANJUNG – Seorang lelaki terlantar di rumahnya di Seri Manjung di sini selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2010.
Nahas itu menyebabkan Syed Shariman Syed Isa, 37, tidak mampu bergerak, bertutur kerana mengalami kecederaan serius di kepala.
Kakaknya, Sharifah Aslinda, 39, berkata, melihatkan keadaan adiknya itu, dia nekad berhenti kerja bagi menjaga Syed Shariman secara sepenuh masa.
Menurutnya, dia tidak pernah menyesal membuat keputusan itu kerana kebajikan dan kesihatan Syed Shariman menjadi keutamaannya dan keluarga.
“Kemalangan itu menyebabkan adik saya cedera serius di kepala. Kecederaan itu menjejaskan kebolehannya untuk bergerak serta bertutur. Sejak kejadian itu, dia terlantar dan tidak boleh menjaga diri sendiri.
“Disebabkan itu, saya nekad berhenti kerja untuk menjaganya. Arwah ibu (Maisitah Mior Abdullah) dan bapa (Syed Isa Syed Idris) turut membantu menjaga adik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sharifah Aslinda memberitahu, antara cabaran menjaga adiknya adalah lelaki itu tidak boleh dibiarkan terlalu sejuk atau kepanasan kerana ia mengundang risiko kekejangan dan lebih teruk lagi diserang sawan.
Katanya, adiknya pernah diserang sawan beberapa kali, namun pengalaman mengendalikan situasi itu membolehkan mereka menanganinya dengan baik.
“Satu lagi cabaran ialah sewaktu dia dijangkiti Covid-19 pada Mac lalu. Sebelum itu ada ahli keluarga yang dijangkiti virus tersebut dan menjangkiti adik saya.
“Ketika itu, dia terpaksa dihantar ke Hospital Seri Manjung di sini bagi mendapatkan rawatan. Memang kami risau dengan keadaannya kerana dia memerlukan penjagaan rapi.
“Walaupun tak dapat bergerak, dia sedar dan memahami apa yang berlaku di sekelilingnya. Pernah sekali apabila rakan-rakan datang melawat dia menitiskan air mata,” katanya yang berniaga secara kecil-kecilan bagi menampung kos sara hidup.
Sementara itu, Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial Seri Manjung, Mohd. Shaperi Md. Salleh berkata, Syed Shariman layak menerima bantuan antaranya wang tunai secara bulanan, elaun serta kemudahan peralatan pemulihan seperti lampin dan susu khas.