BRASILIA – Penurunan hasil tanaman kopi di Brazil yang merupakan penanam kopi terbesar dunia, dijangka akan menyebabkan harga komoditi itu di seluruh dunia naik mendadak dalam tempoh beberapa bulan akan datang, lapor laman berita RT kelmarin.
Menurut data dagangan seperti dilaporkan akhbar The Wall Street Journal (WSJ), niaga hadapan kopi melonjak hampir 90 peratus tahun lalu selepas kemarau dan fros menjejaskan pengeluaran Brazil.
Harga kopi melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun pada Februari lalu sekitar AS$2.59 (RM11.63) untuk 0.45 kilogram (kg) dan kekal tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Harga kopi meningkat 18.06 peratus dari tahun ke tahun dan dijual pada harga sekitar AS$2.23 (RM10) untuk 0.45 kg minggu lalu.
Penganalisis-penganalisis pasaran menjangkakan harga kopi akan terus meningkat disebabkan spesifikasi penuaian kopi di Brazil. Sistem penuaian dilakukan dalam kitaran dua tahun dengan para petani mengumpul jumlah kopi Arabica yang lebih besar pada tahun genap.
Walaupun tahun ini tahun genap, faktor cuaca ektrem pada 2021 menyebabkan jangkaan penuaian untuk tahun ini adalah rendah. Situasi diburukkan lagi oleh kos baja dan pengangkutan yang meningkat.
Selain Brazil, ladang-ladang kopi di Colombia yang merupakan sebuah lagi negara pengeksport utama, turut terjejas akibat cuaca lembap daripada biasa.
Menurut anggaran WSJ, hasil penuaian biji kopi pada tahun ini dijangka turun 50 peratus.
Menurut laporan Pertubuhan Kopi Antarabangsa pada Julai 2022, penggunaan kopi global dijangka meningkat dan mengatasi pengeluaran. Situasi tersebut boleh mengakibatkan harga kopi meningkat ke paras tertinggi baharu. – Agensi