PETALING JAYA – Golongan isteri yang menanggung ‘biawak hidup’ boleh memohon fasakh di mahkamah syariah dengan mengemukakan bukti menunjukkan pasangannya tidak menjalankan tanggungjawab memberi nafkah.
Peguam syarie, Nurul Atikah Abd. Rashid berkata, selain fasakh, kaedah lain yang boleh dilakukan ialah dengan menuntut nafkah tersebut dan ia akan diputuskan oleh hakim di mahkamah.
“Bagaimanapun, dilema bagi isteri ini apabila jika menuntut nafkah, mereka sedar suami tidak mempunyai wang untuk diberikan dan ditambah lagi mereka (lelaki) tidak bekerja.
“Justeru apabila hendak menuntut fasakh di mahkamah, isteri kena kemukakan bukti contohnya tidak dapat nafkah lebih tiga bulan berturut-turut dan hanya menggunakan duitnya sahaja, bukan wang suami,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ditanya mengenai kes-kes yang pernah diterima, Nurul Atikah berkata, dia banyak mendengar luahan daripada golongan isteri yang berdepan situasi suami tidak bekerja.
“Ada isteri terpaksa gadai barang kemas bayar hutang suami keliling pinggang disebabkan lelaki tidak bekerja.
Berita berkaitan: Isteri derita tanggung ‘biawak hidup’
“Sampaikan ada juga suami yang kaki judi dan kerap berhutang dengan orang lain.
“Akibatnya isteri terpaksa bayar hutang tersebut kerana diganggu di rumah. Ada juga golongan isteri bekerja berdepan situasi sama tetapi terpaksa gadai barang kemas kerana wang tidak mencukupi,” katanya.
Ujarnya lagi, luahan dan permasalahan itu diterima menerusi mesej pada media sosial bagi mencari jalan terbaik berhubung masalah tersebut.