JAKARTA – Seorang pemandu ojek atau teksi motosikal di Indonesia mendedahkan kisah dia menerima tempahan daripada seorang pelanggan yang membawa janin selepas prosedur pengguguran, lapor laman berita Detik hari ini.
Lelaki bernama Herna Ropana dari Bandung, wilayah Jawa Barat itu berkata, beberapa hari lalu, dia menjemput seorang penumpang wanita tanpa mengesyaki sebarang perkara luar biasa pada awalnya.
Menurutnya, wanita terbabit membawa sebuah barang yang tidak diketahui isi kandungannya. Ketika dalam perjalanan ke tempat yang dituju, wanita tersebut memberitahu Herna bahawa bungkusan tersebut adalah janin yang digugurkan.
“Dia meminta saya menanam janin tersebut dan memberitahu bahawa suaminya berada di luar kota.
“Saya menjelaskan kepadanya bahawa ia bukan tugas saya (menanam janin) dan saya bertanyakan kepadanya mengenai ketua rukun tetangga di kawasannya, namun tidak dinyatakan secara jelas,” ujarnya.
Tambah Herna, jika dari awal dia mengetahui bahawa dia membawa ‘jenazah’, dia pasti akan membatalkan tempahan wanita tersebut.
“Saya berasa bimbang kerana diminta mengebumikan janin itu, apatah lagi ia bukan tanggungjawab saya. Ia perlu dikebumi dengan cara yang betul,” jelasnya.
Wanita itu kemudian mengaku bahawa dia sebenarnya tinggal bersama rakannya sebelum Herna bertindak menghantarnya pulang ke lokasi dia dijemput.
“Saya terus melaporkan kejadian itu kepada ketua rukun tetangga. Selepas itu, saya mendapat tahu bahawa ada individu yang melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis,” ujarnya.
Wanita tersebut dilaporkan telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, sebuah klip video memaparkan pemandu ojek menerima tempahan untuk mengebumikan janin menjadi tular di media sosial Indonesia. – Agensi