MANCHESTER – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp akui bimbang dengan permulaan negatif pasukannya selepas tewas 1-2 kepada Manchester United di Old Trafford awal pagi semalam.
Selepas keciciran tujuh mata di awal musim, Klopp menegaskan seluruh pasukan harus dipersalahkan kerana gagal menyekat United yang tampil dengan aksi terbaik untuk memastikan kemenangan sulung mereka musim ini.
“Saya kecewa dengan keputusan dan ketika ini saya cukup bimbang mengenai situasi pasukan, tetapi inilah yang sedang berlaku. Ia adalah perlawanan yang jelas menunjukkan apa yang United mampu lakukan.
“Adakah mereka lebih agresif berbanding kami? Kemungkinan ia benar. Inilah cara permainan yang United mahukan dan kami perlu mengakui kesilapan sendiri.
“Kami berjaya menjaringkan gol, tetapi ia sudah terlambat. Kami mampu menang jika boleh beraksi lebih baik,” katanya.
Walaupun Mohamed Salah turut meledak buat The Reds, dua jaringan daripada Jadon Sancho dan Marcus Rashford sudah memadai bagi United mengesahkan tiga mata pertama musim ini selepas dihimpit kekalahan pada dua perlawanan awal.
Bagaimanapun, Klopp mengakui tidak terlalu risau dengan insiden pertengkaran antara James Milner dan Virgil Van Dijk sambil menyifatkan insiden itu adalah perkara normal dalam bola sepak.
“Tiada siapa pun gembira bila kalah, tetapi itu adalah perkara biasa. Ia hanya pertengkaran biasa dan kami tidak ada sebarang isu,” ujarnya. – AGENSI