PETALING JAYA – Ketika isu perbankan yang dikatakan mempunyai sistem yang longgar ketika ini sehingga ramai yang menjadi mangsa penipuan, nama Aman Shah kembali muncul.
Aman Shah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Aman Shah pernah menggegarkan negara sekitar 90-an dengan ‘mengambil satu sen dari bank’ sehingga mendapat perhatian ramai.
Bagaimanapun, Aman Shah telah ditangkap dan dikenakan hukuman sehingga namanya lenyap seketika, kemudiannya kembali semula ketika era media sosial sekarang.
Dia pernah menceritakan tentang pengalamannya sebelum ini namun selepas itu namanya sekali lagi menghilang.
Kehadiran Aman Shah ketika itu sebenarnya telah membuktikan sistem bank di negara ini memang mempunyai ‘lompong’ namun bertahun perkara ini berlaku tetapi penyelesaiannya tidak ada sampai sekarang.
Ketika isu kehilangan duit dalam bank lesap nama pegawai bank tersebut kembali menjadi sebutan pengguna media sosial tempatan.
“Betul, Aman Shah dah buktikan masalah bank ini sudah lama tetapi sampai sekarang masalah ini berlaku.
“Persoalannya kenapa mudah sangat ‘scammer’ ambil duit dari akaun peribadi mangsa sedangkan itu tanggungjawab pihak bank untuk menjaga duit pelanggan, ” jelas Kang Hock Cua.
“Ke mana hilangnya Aman Shah, masa ni harapnya dia kembali menceritakan kelemahan bank tempatan. Tolonglah buat sesuatu, hilang ribuan ringgit dalam satu transaksi pada masa yang tidak sepatutnya, bank kena lihat benda ni secara serius, ” kata Saifullah Mokhtar. – KOSMO! ONLINE.