fbpx

Ugut wanita tuntut hutang, 3 ah long ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Tiga lelaki warga tempatan dipercayai ah long ditahan kerana mengugut seorang wanita kononnya gagal membayar kadar bunga hutang dalam kejadian pada Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, mangsa telah berhubung dengan suspek apabila melihat iklan pinjaman duit di Facebook pada 23 Jun lalu.

“Mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 32 tahun itu berhubung melalui WhatsApp hanya untuk bertanya mengenai pinjaman sebelum menyerahkan gambar kad pengenalan, penyata kewangan dan slip gaji.

“Wanita itu kemudian menyedari duit berjumlah RM8,000 telah dimasukkan ke dalam akaun bank dan suspek meminta mangsa membayar semula wang sebanyak RM10,000 dalam tempoh tiga hari,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Fakhruddin, mangsa yang belum memutuskan untuk membuat pinjaman telah memulangkan semula wang berjumlah RM8,000 ke dalam akaun suspek.

Jelasnya, suspek yang tidak berpuas hati kerana tidak mendapat baki RM2,000 telah mengganggu dan menghantar notis ugutan ke rumah serta pejabat sebelum mangsa membuat laporan polis.

“Susulan itu, polis telah menahan tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun di Klang, Selangor, semalam.

“Kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI