MELAKA – Penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah turut dikesan berlaku di Selangor selain di dua negeri lain iaitu Johor dan Kedah.
Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary selepas menghadiri Seminar Penghayatan Nilai-Nilai Islam Penjawat Awam Negeri Melaka di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dilakukan berhubung ajaran sesat di ketiga-tiga negeri terbabit bagi tujuan pendakwaan undang-undang sekiranya ia boleh disabitkan.
Menurutnya, semua keputusan berkaitan ajaran sesat seperti tindakan undang-undang atau menfatwa bagaimanapun diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing.
“Selain Johor dan Kedah, kita kesan ajaran sesat Hadi Minallah itu turut berlaku di Selangor dan siasatan sedang dilakukan oleh penguat kuasa negeri.
“Penguat kuasa ada garis panduan dan kalau langgar juga bermakna dah masuk dalam kumpulan ajaran sesat, maka jabatan agama negeri boleh diambil tindakan (undang-undang),” katanya.
Mengulas lanjut Ahmad Marzuk berkata, setakat ini langkah pencegahan awal telahpun diambil oleh pihak berwajib bagi mengekang penyebaran ajaran baharu itu.
“Tindakan pemantauan turut dilakukan terhadap mana-mana ajaran lain yang membawa kepada kesalahan dari sudut agama.
“Walaupun belum didedahkan lagi, tapi kita ada kemudahan untuk memantau dan sentiasa mendapatkan maklumat, yang timbul (ajaran) itu sudah sampai masanya, tetapi yang belum lagi sedang dalam pengawasan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE