BUDAPEST – Kerajaan Hungary memecat ketua perkhidmatan kaji cuaca dan timbalannya semalam, dua hari selepas pertunjukan bunga api bagi meraikan cuti hari kebangsaan ditangguhkan kerana kebimbangan mengenai ribut.
Menteri Teknologi, Lazlo Palkovics yang mengawal selia Perkhidmatan Meteorologi Negara (NMS), memecat Presiden NMS, Kornelia Radiics dan timbalannya, Gyula Horvath tetapi tidak memberikan sebarang alasan.
Kementeriannya juga tidak membalas panggilan telefon daripada agensi berita AFP.
Bagaimanapun, pemecatan itu berlaku sehari selepas media prokerajaan mengkritik NMS kerana ramalan mereka bahawa ribut petir dan tiupan angin kuat akan berlaku pada Sabtu lalu menyebabkan pertunjukan bunga api besar-besaran terpaksa dibatalkan.
Akhbar online, Origo melaporkan, NMS telah memberikan ‘maklumat salah mengenai tahap cuaca buruk pada hari berkenaan dan mengelirukan pasukan operasi yang bertanggungjawab berhubung isu keselamatan.’
Agensi NMS memohon maaf pada Ahad lepas dan memetik ‘faktor ketidakpastian yang wujud dalam profesion ramalan kaji cuaca’ sebagai punca kesilapan itu berlaku.
“Mereka tidak dapat menghasilkan cuaca yang diingini, jadi mereka dipecat. Tidak, perkara ini bukan berlaku di negara-negara diktator Asia Tengah. Ia berlaku di Hungary yang diperintah oleh Fidesz (parti pemerintah),” kata pemimpin liberal, Andras Fekete-Gyor secara berseloroh di laman Facebook.
Pertunjukan bunga api dianggap terbesar di Eropah itu bertujuan untuk meraikan kewujudan negara Hungary selama 1,000 tahun. Pesta itu telah dijadualkan semula lewat minggu ini.
Pihak pembangkang sebelum ini menggesa acara tersebut dibatalkan kerana dianggap membazir dan tidak berfaedah ketika Hungary sedang bergelut dengan krisis ekonomi.
Pada tahun 2006, perayaan tahunan itu dilanda ribut ganas yang mengorbankan lima orang dan mencederakan beratus-ratus yang lain. – AFP