Oleh SUBKHI SUDARJI
PUTRAJAYA – Lebih 100,000 pesawah melahirkan kekecewaan apabila terpaksa berhadapan dengan kelewatan dan eksploitasi harga benih padi yang dihadapi sejak 2008.
Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, permasalahan itu berlaku setiap musim penanaman padi dan seolah-olah tiada kesudahan dilakukan kerajaan terdahulu mahupun sekarang.
Jelasnya, punca masalah yang timbul adalah jadual pengairan yang dikeluarkan tanpa mengambil kira kapasiti pengeluaran benih oleh syarikat dilantik.
“Ditambah pula dengan andaian bahawa berlaku salah guna kuasa oleh pihak berwajib dengan mengambil komisen terhadap benih yang diluluskan.
“Pihak pengeluar benih saban tahun menuntut subsidi sebanyak RM20 bagi setiap beg 20 kilogram (kg). Kuota benih subsidi ditanggung kerajaan adalah sebanyak 75,000 metrik tan setahun.
“Subsidi yang bernilai jutaan ringgit itu diterima terus oleh syarikat pengeluar dengan tanggungjawab untuk menjamin bekalan mencukupi dan berkualiti,” katanya.
Dia berkata demikian pada sidang akhbar PeSAWAH mengenai kekurangan bekalan benih padi dan eksploitasi harga yang melampau di pekarangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di sini hari ini.
Abdul Rashid turut menjelaskan, sistem pengeluaran benih terbukti tidak efektif untuk menjamin bekalan dan kualiti benih padi kepada petani.
“Ini kerana saban musim masalah kualiti yang teruk dan harga jualan tinggi dan bekalan tidak mencukupi sering berlaku. -K! ONLINE