PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kekal dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta oleh Mahkamah Persekutuan di sini sebentar tadi.
Keputusan sebulat suara itu (unanimous) dibuat panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tengku Mat.
Dalam penghakimannya, ketika membaca keputusan itu, Hakim Tengku Maimun mendapati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi dan panel-panel Hakim Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah selamat dan tidak perlu diubah.
Berita berkaitan: Mahkamah: Najib gagal rayuan akhir, penjara 12 tahun, denda RM210 juta
“Kami bersetuju bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, telah mempertimbangkan pembelaan dengan teliti dan menjalankan analisis menyeluruh terhadap keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.
“Selain itu mahkamah telah membuat penemuan yang memberi kesan bahawa pihak pembelaan tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Kami tidak dapat membuat kesimpulan bahawa seperti yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan adalah salah atau jelas,” kata Hakim Tengku Maimun.
Berita berkaitan: Najib gagal dalam permohonan Tengku Maimun untuk tarik diri
Selain Hakim Tengku Maimun panel lain yang turut bersidang bersama-sama panel lain yang turut yang mendengar prosiding hari ini ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Berita berkaitan: Najib mohon maaf jika keputusan tidak berpihak padanya
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah terhadap tujuh pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta.
Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan. – KOSMO! ONLINE