PETALING JAYA – Bekas pesakit kanser mulut, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 4, mengalami sawan secara berterusan sejak Ahad lalu hingga semalam.
Bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak yang berkongsi mengenai perkembangan itu berkata, anaknya stabil pada Jumaat lalu dan tidak menggunakan bantuan oksigen bahkan, doktor juga memaklumkan kanak-kanak itu boleh dibenarkan keluar semalam atau hari ini.
“Tapi Allah masih tidak mengizinkan. Pada tengah malam Ahad, Ainul sawan semula hingga pukul 7 malam (Isnin) tanpa henti.
“Dia berehat dalam 10 hingga 15 minit sahaja dan selepas itu, sawan datang semula. Tapi sawan kali ini tidak seteruk sewaktu kali pertama.
“Saya sedih dia diserang sawan tanpa henti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Ahmad Safiuddin memberitahu, anaknya mudah penat apabila paras oksigennya rendah ketika diserang sawan.
“Sebelum ini Ainul pernah mengalami demam panas di rumah, tapi tidak pernah diserang sawan. Kali ini apabila dia mendapat jangkitan kuman yang teruk, dia dapat sawan.
“Kalau dulu dalam laporan perubatan, Ainul tidak pernah ada sejarah sawan. Tapi sekarang tertulis di situ Ainul ada sawan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Safiuddin berkata, sebagai lelaki dan bapa, dia seorang yang kental namun, air matanya jatuh tatkala melihat keadaan Ainul.
“Menangis teresak-esak rasa tersangkut pada tekak, tidak boleh lepas. Saya tidak sekuat Ainul. Saya bisik pada Ainul, minta dia beri sikit semangatnya pada saya.
“Saya rasa, semangat sayalah yang kritikal. Setiap kali berdoa, saya minta Allah ada dengan saya serta minta Allah peluk saya dan tenangkan saya,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, dia berasa tenang sedikit pada hari ini memandangkan Ainul dapat tidur nyenyak pada malam tadi. – KOSMO! ONLINE