fbpx

Sultan Johor tidak tergesa buat keputusan tukar cuti hari minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SULTAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa Baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tentang cadangan Kerajaan Negeri untuk menukar semula cuti hari minggu negeri ini kepada Sabtu dan Ahad

Baginda bertitah, perkara itu akan diteliti setiap sudut baik buruknya selain mengambil kira serta perhalusi pandangan semua pihak.

“Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan. Cadangan kerajaan itu akan saya teliti setiap sudut baik buruknya, dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi. Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan.

“Buat masa ini saya mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negeri Johor serta kepentingan rakyat.

“Kerajaan Negeri boleh berikan apa jua cadangan kepada saya, dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan apa-apa keputusan,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

10 Ogos lalu, kerajaan Johor telah membentangkan hasil dapatan berhubung penyelarasan hari cuti hujung minggu negeri ini kepada Sultan Johor.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama Negeri Johor.

Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan dalam Negeri Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Negeri Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.

Pada 14 Jun lalu, Onn Hafiz memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan hari cuti hujung minggu negeri berkenaan yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Beliau dilaporkan berkata, kajian itu akan dibuat ekoran terdapat keluhan daripada masyarakat mengenai perbezaan hari cuti sektor swasta dan kerajaan selain bagi memastikan ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI