fbpx

Bajet 2023: Perbelanjaan kerajaan dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shahar ketika berucap pada Majlis Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Perbelanjaan kerajaan bagi pemberian bantuan dan subsidi untuk tahun 2023 dianggarkan akan meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding peruntukan Bajet 2022 iaitu sebanyak RM31 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata tahap inflasi negara bagi tempoh enam bulan pertama 2022 mencatatkan kadar 2.5 peratus yang jauh lebih rendah daripada inflasi di negara lain.

“Tahap inflasi di Malaysia kekal terkawal ekoran pelaksanaan langkah kawalan harga serta pemberian subsidi dan berikutan langkah kerajaan itu, perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan akan meningkat kepada RM77.7 bilion.

“Tanpa subsidi yang disediakan untuk barangan asas, dianggarkan inflasi akan mencapai 11.4 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Konsultasi Bajet 2023 di bangunan Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shatar, bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berterusan, fokus
kerajaan pada Bajet 2023 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini adalah tertumpu kepada inisiatif-inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Keutamaan diberikan kepada peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan dan rantaian nilai berkaitan serta memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan masa hadapan.

“Bajet 2023 bertemakan ‘Memperkukuh Pemulihan dan Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia’ akan dirancang dan digubal berdasarkan lima aspek utama,” katanya.

Jelas beliau, lima aspek utama itu adalah memperkukuh momentum pemulihan ekonomi dari segi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), aspek pekerjaan dan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

“Ia diikuti usaha meningkatkan daya saing negara dalam normal baharu pasca Covid-19 dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti melalui penerapan teknologi, automasi dan pendigitalan serta menggalakkan inovasi baharu untuk pertumbuhan ekonomi secara lestari.

“Aspek ketiga adalah memperkukuhkan daya tahan ekonomi, kedudukan fiskal yang mampan serta pemberian subsidi dan bantuan secara lebih bersasar selain melindungi kesejahteraan rakyat melalui program perlindungan sosial yang memberi tumpuan berterusan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, pendidikan yang berkualiti, keselamatan awam dan persekitaran hidup yang lebih selesa,” ujar beliau.

Tambah Mohd. Shatar, aspek kelima adalah menggalakkan pembangunan yang inklusif dan mampan selaras dengan sasaran yang digariskan dalam Sustainable Development Goals (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, inisiatif pembaharuan fiskal bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan serta mewujudkan ruang fiskal dan fleksibiliti bagi melaksanakan langkah ‘counter-cyclical’ untuk terus menyokong ekonomi dan mengukuhkan daya tahan negara untuk berdepan dengan cabaran masa hadapan.

Beliau berkata, negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2021 berbanding penguncupan 5.5 peratus pada tahun 2020.

Malahan, bagi tahun 2022 ekonomi negara menunjukkan momentum pemulihan yang kukuh dengan pertumbuhan 6.9 peratus pada separuh pertama 2022 disokong peningkatan permintaan dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.

“Perkembangan ini turut disumbang sokongan dasar kerajaan yang konsisten, terutamanya melalui inisiatif di bawah Bajet 2022 yang mengembang dengan langkah-langkah yang giat dilaksanakan sejak awal tahun.

“Sehubungan ini, kerajaan yakin ekonomi negara akan mencapai unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus bagi tahun 2022,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI