fbpx

Peniaga terkilan sewa gerai naik 4 kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norehan menunjukkan surat pemakluman kenaikan Kadar sewa gerai di Pasar Awam Sitiawan hari ini.

SITIAWAN – Peniaga Pasar Awam Sitiawan di sini memohon Majlis Perbandaran Manjung (MPM) untuk menurunkan harga sewa gerai perniagaan yang dinaikkan dari RM40 kepada RM160 sebulan bermula Jun lalu.

Menurut wakil peniaga, Norehan Yaakob, 57, berkata, kenaikan itu membebankan kira-kira 100 peniaga di sana memandangkan mereka tidak mampu kadar sewa yang naik mendadak tersebut.

“Kami terkejut dengan kadar sewa dikenakan ini. Ramai yang tak mampu nak bayar kerana kebanyakan peniaga di sini hanya memperoleh pendapatan antara RM100 hingga RM500 sehari secara purata.

“Duit itulah nanti yang akan digunakan untuk menyediakan produk perniagaan bagi keesokan harinya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi wakil peniaga, Beharom Mt. Hashim berkata, selain masalah kenaikan harga sewa gerai, pelbagai lagi isu yang membelenggu golongan peniaga di sana.

Menurutnya, antara masalah tersebut temasuklah keadaan pasar itu yang kotor akibat tidak dibersihkan kontraktor sehingga menyebabkan mereka terpaksa mencucinya sendiri.

“Saya pun tak tahu waktu kontraktor cuci pasar ini. Ada masanya longkang ini tersumbat sehingga kami perlu angkat penutup longkang dan mencucinya sendiri.

“Itu tidak termasuk najis-najis haiwan seperti kucing dan anjing di pekarangan pasar ini. Tiada orang lagi yang mencucinya selain kami sendiri,” katanya.

Selain itu, ujarnya, ketiadaan tempat letak kereta yang khusus bagi peniaga turut menyusahkan golongan berkenaan kerana ia menyebabkan mereka disaman pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Teoh Yee Chern berkata, MPM perlu mempertimbangkan semula kadar sewa yang dikenakan kepada peniaga kerana mereka masih dalam fasa pemulihan ekonomi.

“Kita tidak mahu sewa yang naik empat kali ganda atau 300 peratus ini menekan golongan peniaga. Rata-rata mereka terkesan dengan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Diharapkan pihak majlis perbandaran mengambil satu pendekatan agar sebarang keputusan yang dibuat berkaitan hal ini tidak menjejaskan periuk nasi peniaga kecil di pasar ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI