fbpx

Harap bakal isterinya lebih baik daripada saya – Ellie Suriaty

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN sudah berpisah, Ellie tetap berasa apabila ada pihak mendakwa Azri sebenarnya diperdaya 'love scam' gara-gara tidak menunjukkan identiti wanita yang dikahwini.

SHAH ALAM – “Kalau dia nak kahwin, semoga jumpa lebih baik daripada saya.”

Demikian antara kenyataan aktres terkenal, Ellie Suriaty mengenai bekas suaminya, Azri Iskandar yang mengakui bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita dikenali sebagai Dr. Azra Diera.

Tidak menolak untuk memberi komen mengenai kehidupan Azri yang kini sering menjadi bualan netizen, pemilik nama penuh Ellie Suriaty Omar, 52, itu berkata anak-anak sering berkongsi artikel mengenai bapa mereka dengannya.

Namun wanita yang turut bergelar pengarah filem itu berpendapat tidak manis sekiranya mengulas berlebihan mengenai kehidupan terkini Azri memandangkan status mereka bukan lagi sebagai suami isteri.

“Mereka selalu berkongsi pelbagai cerita dengan saya termasuk artikel tentang Azri.

“Saya pun tidak boleh nak bercakap banyak dengan Azri sebab kini sudah jadi orang luar dalam hidupnya.

“Walaupun orang kata saya bekas isteri dan boleh berkomunikasi namun sekarang berbeza, tambahan pula dia sudah ada orang lain,” katanya kepada Kosmo! Online di sini semalam.

Ditemui selepas sidang akhbar program realiti mencari bakat terbaharu, Fit To Action, pelakon Paloh itu berharap bekas suaminya bertemu dengan wanita yang baik dan bukannya seorang scammer (penipu) seperti didakwa ramai.

“Apa sahaja kenyataan saya, orang lain akan terasa, lagi pula dia (Dr. Azra) bukan orang industri walaupun ada yang kata dia seorang penulis skrip.

“Sebab saya pernah bagi kenyataan dan Azri sendiri sangat marah dan mengatakan saya sudah mencalarkan nama baik wanita tersebut.

“Tentang hal wanita tersebut, anak-anak juga ada hak untuk ambil tahu sebab berkaitan bapa mereka. Namun, bila cari, tak jumpa pula tentang dirinya dalam carian internet,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, keprihatinan diberikan terhadap kehidupan Azri ketika ini ialah bagi mengelakkan anak-anak menjadi mangsa dalam situasi yang tidak sepatutnya.

“Saya bukannya jenis manusia yang jika tiada pertalian lagi, semuanya sudah berakhir. Dia tetap bapa kepada anak-anak kami.

“Selama 19 tahun hidup bersama, sudah tentulah ada rasa empati. Kasihan sekiranya benar dia memang dipermainkan oleh scammer, kalau boleh pilihlah wanita yang baik.

“Bahkan, dia pun tak pernah bawa anak-anak bertemu dengan wanita tersebut. Individu tersebut wujud tetapi tidak tahu identitinya sehingga hari ini. Bila timbul banyak kekeliruan sebegini, anak-anak yang menjadi mangsa,” jelasnya panjang lebar.

Ujarnya yang terkenal menerusi drama Orang Gaji 41, setiap kenyataan yang diberikan mengenai Azri juga sering disalah erti oleh pihak lain.

“Bila saya beri komen berlebihan, pihak belah sana akan mula menyindir dan mendakwa saya nak kembali kepada Azri sedangkan tidak sama sekali.

“Jadi, saya tak mahu komen lebih sebab pasti akan jadi merebak-rebak. Sebaik-baiknya saya diam.

“Kalau dia nak kahwin, semoga dia jumpa yang lebih baik daripada saya. Namun, apabila dia mengeluarkan kenyataan yang merisaukan anak-anak, semua itu perlu dibincangkan,” ujarnya.

Sejak dua pelakon berkenaan mengumumkan perceraian mereka sekitar Mei lalu, pelbagai cerita kurang enak timbul mengenai Azri.

Kurang sebulan bercerai, Azri mengesahkan dirinya bakal mendirikan rumah tangga dengan Dr. Azra yang masih dirahsiakan identitinya sehingga hari ini.

Pelbagai andaian dilemparkan mengenai wanita berkenaan sehingga ada yang beranggapkan Azri dipermainkan oleh ‘love scam’ namun dinafikannya.

Terdahulu, mereka disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada 17 Mei lalu.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen kini berusia 13 tahun.

Sebelumnya, Azri menerusi perkahwinan terdahulu mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistana, 29, Nur Anis Mastura, 27. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI