PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang pakar perubatan berhubung dakwaan kehilangan wang sebanyak RM13,000 daripada akaun banknya pada 16 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, laporan berhubung kes tersebut telah diterima pada pukul 4.24 petang 19 Ogos lalu dan satu kertas siasatan telah pun dibuka.
“Menurut pengadu, pada 16 Ogos lalu dia telah mendaftar masuk ke laman web perbankan internet miliknya menggunakan satu pautan yang dihantar menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) oleh nombor yang tidak dikenali.
“Bagaimanapun, pada 19 Ogos lalu, ketika sedang membuat semakan di akaun CIMB Bank (CIMB) miliknya, pengadu mendapati wang di dalam akaun tersebut telah berkurangan sebanyak RM13,000 tanpa pengetahuannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut A. Asmadi, pengadu juga telah membuat aduan kepada pihak CIMB dan dimaklumkan bahawa wang berjumlah RM13,000 miliknya itu telah dipindahkan ke dalam akaun bank lain milik penama yang tidak dikenalinya.
“Pengadu menafikan mengetahui mengenai transaksi tersebut dan semakan rekod Commercial Crime Intelligence System (CCIS) ke atas nombor akaun berkenaan tidak menemui sebarang laporan.
“Siasatan berhubung kejadian masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tegas beliau.
Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan tentang seorang pakar perubatan, Dr. Rafidah Abdullah sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak CIMB berikutan kehilangan wang simpanannya di dalam akaun bank sebanyak RM13,000.
“Sehingga CIMB dan semua bank di Malaysia bersatu, saya tidak akan berhenti membuat bising. Berjuang untuk mereka yang tidak bersuara. Nampaknya Bank Negara Malaysia (BNM) tidak dapat mengawal bank.
“Sangat kecewa dengan CIMB, tidak akan transaksi tiga kali pada pukul 2 pagi tidak ada trigger (amaran)? Mestilah ‘scammer’. Kesannya hilang RM13,000,” soalnya menerusi bebenang ciapan di laman Twitter.-KOSMO! ONLINE