PETALING JAYA – Tiada langsung agenda perbincangan mendesak Perdana Menteri untuk mencampuri urusan mahkamah ketika perjumpaan khas bersama Ketua-ketua Bahagian UMNO tengahari tadi.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berkata, agenda tersebut langsung tidak dibincangkan apatah lagi seolah-olah wujud pertentangan dalam kalangan kepimpinan bahagian.
“Ini satu penglaporan berita fitnah yang langsung tidak bertanggungjawab dan beretika.
“Seharusnya mendapatkan atau memetik sumber yang sahih bukan hanya sekadar menyatakan ‘sumber dalaman’ yang tidak berasas hingga mencetuskan persepsi negatif,” jelasnya hari ini.
Terdahulu, satu portal berita tempatan melaporkan sumber dalaman UMNO mendedahkan pertemuan melibatkan ketua-ketua bahagian itu gagal mencapai kata sepakat untuk mendesak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Tambah laporan tersebut lagi, sumber dalaman memberitahu ramai ketua bahagian yang hadir mesyuarat tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama UMNO.
Menurut sumber itu lagi, ada dalam kalangan kalangan ketua bahagian yang terpaksa datang selepas dipercayai diberi kata dua, tidak akan diberi watikah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tambah Asyraf, apakah logik untuk mendesak Perdana Menteri campur tangan kes SRC yang sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan ditambah pula bukan PM yang melantik Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan yang ada hari ini.
“Tidak sebagaimana zaman Tun Mahathir yang terlibat dalam pemilihan hakim-hakim seperti dakwaan Tommy Thomas selaku Bekas Peguam Negara dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness.’
“Apa yang boleh saya kongsikan secara umum, perbincangan tadi lebih kepada isu-isu mengenai PRU-15,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE