SEGAMAT – Seorang pekerja kilang maut apabila tersepit pada rantai mesin (fryer conveyer) di sebuah kilang memproses buah kelapa sawit di Jalan Genuang, di sini hari ini.
Anggota bomba dan penyelamat yang dipanggil mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mayat Gan Kian Beng, 57.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Baru berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian pada pukul 3.18 petang.
“Ketika tiba di lokasi, didapati sebahagian tubuh lelaki berkenaan dalam keadaan tersepit pada rantai mesin berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian ketika kerja menyelamat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 3.48 petang dan dihantar ke Hospital Segamat (HDS) bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE