fbpx

KTMB tambah lima gerabak penuhi permintaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh YATIMIN ABDULLAH

KUALA KRAI – Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Tumpat ke Dabong mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan masyarakat di negeri ini untuk melancong setiap kali hujung minggu selepas kerajaan menutup pintu sempadan negara ekoran penularan Covid-19.

Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad Asri Khalbi berkata, situasi itu menyebabkan KTMB terpaksa menambah lima lagi gerabak bagi memenuhi permintaan pengguna sejak sebulan lalu.

Menurutnya, pada hari biasa sebanyak empat gerabak sahaja yang beroperasi bagi memenuhi permintaan masyarakat setempat.

“Ekoran peningkatan permintaan pada hari Jumaat dan Sabtu, kita menyediakan sebanyak lapan gerabak pada hari tersebut.

“Kami amat gembira dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh masyarakat di negeri ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Stesen Keretapi Dabong di sini hari ini.

Ahmad Asri berkata, perkembangan itu secara tidak langsung membuka peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman menaiki kereta api ke Dabong.

Katanya, pekan Dabong menyimpan banyak khazanah tersembunyi untuk diterokai oleh masyarakat negeri ini.

“Antara tarikan yang terdapat disini ialah Gua Ikan, Air Terjun Jelawang dan Gunung Stong.

“Harga tiket yang murah RM5 (dewasa) dan RM3 (kanak-kanak) bagi perjalanan sehala menjadi salah satu tarikan untuk ke sini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penumpang, Siti Nuraisyah Ibrahim, 32, berkata, dia amat teruja menaiki pengangkutan awam tersebut.

Katanya, ia merupakan pengalaman pertama dia menggunakan kereta api dalam hidupnya.

“Sepanjang perjalanan, para pengguna dihidangkan dengan pemandangan yang menarik.

“Tidak rugi jika orang ramai memilih Dabong sebagai destinasi utama rakyat negeri ini untuk melancong,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI