KOTA BHARU – Seorang lelaki disyaki pengedar dadah dicekup kerana memiliki sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria tanpa lesen bersama peluru dan senjata tajam dalam serbuan di Kampung Air Belaga, Ulu Sat dekat Machang minggu lalu.
Suspek berusia 28 tahun dari Gua Musang ditahan Cawangan Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan yang menyerbu rumah itu kira-kira pukul 11.50 malam.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa serbuan, anggota polis memecahkan pintu rumah dan mendapati suspek berada atas katil di dalam sebuah bilik.
Menurutnya, suspek cuba lari dan berlaku pergelutan sebelum dapat diberkas.
“Pemeriksaan lanjut menjumpai sepucuk pistol bersama peluru, dua bilah keris, sembilan bilah pedang dan sebilah parang.
“Turut ditemui 165 biji pil kuda, satu tiub straw berisi serbuk putih dipercayai dadah dan 20 biji pil berwarna putih,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, pistol yang dirampas dibeli di negara jiran pada harga RM5,000.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai empat rekod jenayah. – KOSMO! ONLINE