fbpx

Jurulatih skuad B-23 diumum minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUDDIN

SHAH ALAM – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan posisi ketua jurulatih serta barisan kejurulatihannya bagi skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan dijangka akan diumumkan secara rasmi pada minggu ini.

Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar berkata, kesemua individu terbabit hanya bakal didedahkan pada satu sidang media yang bakal dilakukan dalam masa terdekat.

Kata Mohd. Saifuddin, barisan kejurulatihan terbabit terdiri daripada gabungan jurulatih tempatan dan luar negara.

“Calon ketua jurulatih skuad B-23 negara sudah pun diisi dan kita kini hanya menunggu masa untuk mendedahkan kepada umum yang mungkin dilakukan pada minggu ini.

“Mengenai status barisan kejurulatihan, ia merupakan kombinasi daripada dalam dan luar negara seperti yang dilakukan bersama skuad kebangsaan ketika ini,” katanya kepada pemberita.

Mohd. Saifuddin ditemui ketika menghadiri majlis penyerahan kenderaan Kia menerusi syarikat pengedar, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJM) untuk kegunaan skuad Harimau Malaya yang telah berlangsung di Pusat 3S Kia Flagship di Shah Alam petang tadi.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah kedua-dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram serta barisan Exco FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar, Syed Yazid Syed Omar dan Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah, serta ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Sebagai rekod, posisi ketua jurulatih skuad B-23 negara masih kosong selepas FAM membuat keputusan untuk ‘berpisah’ dengan pengendali import dari Australia, Brad Maloney pada bulan lalu.

Keputusan tersebut dibuat selepas Maloney gagal memberikan impak yang diharapkan bersama skuad muda Harimau Malaya pada temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam dan kempen Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan baru-baru ini.

Difahamkan, pengendali import dari Korea Selatan menjadi pilihan untuk mengemudi skuad B-23 negara dengan dibantu ‘anak tempatan’ selaku penolong ketua jurulatih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI