fbpx

BNM, SSM meterai terma kerjasama kawal selia pengubahan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norshamsiah Yunus (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz (dua dari kanan) di Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menandatangani Terma Kerjasama bagi mengukuhkan lagi kerjasama pengawalan dan penyeliaan berhubung pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT) dan Sekatan Kewangan Bersasar (Targeted Financial Sanctions, TFS).

Terma Kerjasama ini menggariskan tanggungjawab pengawalan dan penyeliaan antara bank pusat dan SSM berhubung pengawalan dan penyeliaan ke atas setiausaha syarikat dan syarikat amanah. 

Ia juga akan membolehkan pendekatan yang lebih berstruktur diambil dalam usaha menilai risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (ML/TF) bagi kedua-dua sektor serta meningkatkan kapasiti keinstitusian dalam bidang-bidang ini.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Yunus berkata, perjanjian tersebut adalah hasil kerjasama yang teguh antara BNM dengan SSM selama bertahun-tahun. 

“Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama rapat dengan SSM untuk menjamin dan mengekalkan integriti sistem kewangan.

“Kami yakin bahawa SSM dapat melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar untuk menjalankan penyeliaan AML/CFT ke atas setiausaha syarikat dan syarikat amanah pada masa terdekat ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, adalah penting bagi setiausaha syarikat dan syarikat amanah untuk mengetahui serta memahami peranan serta dedahan risiko berkaitan dengan ML/TF terhadap fungsi mereka. 

Menurutnya, pengetahuan dan pemahaman itu akan membentuk asas untuk mereka memahami serta memantapkan langkah pencegahan terhadap kegiatan jenayah tersebut. 

“Perjanjian yang ditandatangani itu merupakan satu langkah penting ke arah mencapai matlamat tersebut,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI