KUALA LUMPUR – Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman terhadap bekas Naib presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin bagi menuntut RM10 juta kerana melanggar syarat bon yang mengikat dirinya kepada parti.
Saman itu difailkan Setiausaha Agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail selaku plaintif melalui Tetuan Wiliam Leong & Co pada 28 September lalu, dengan menamakan Zuraida, 52, yang kini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai defendan tunggal.
Dalam tuntutan saman itu, plaintif mendakwa pada 25 April 2018 Zuraida telah menandatangani suatu bon di mana defendan telah mengikat dirinya untuk membayar parti sejumlah RM10 juta menurut terma dan syarat bon tersebut.
Antara terma dan syarat bon itu, adalah defendan telah bersetuju untuk membayar parti jumlah itu selewat-lewatnya tujuh hari setelah berlakunya salah satu perkara.
Ia adalah jika defendan meletak jawatan sebagai anggota parti atau tidak mengemukakan surat-surat untuk bertanding kerusi yang diperuntukkan kepadanya untuk apa jua alasan atau setelah memenangi pilihan raya, atau bergabung dengan parti politik yang lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Plaintif mendakwa, pada 24 Februari lalu, defendan dalam satu kenyataan bersama 10 orang ahli parlimen yang lain telah mengumumkan perletakkan jawatan dari PKR tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang.
Pada tarikh sama, Majlis Pimpinan Pusat Parti (MPP) telah meluluskan resolusi untuk melucutkan keahlian defendan dalam parti tersebut dengan serta-merta selain mengeluarkan sijil bertarikh 24 Julai lalu untuk mengesahkan keahlian defendan dalam parti tersebut telah ditamatkan.
Dakwa plaintif lagi, berikutan tindakan defendan yang meletak jawatan itu telah menyebabkan parti tersebut kehilangan manfaat dan kelebihan di Dewan Rakyat dan menjadi sebahagian kerajaan.
Selain itu plaintif mendakwa, defendan telah atau semestinya menikmati faedah setelah dipilih sebagai calon parti tersebut yang telah memenangi kerusi Parlimen Ampang, ianya adalah tidak adil untuk defendan terus mengekalkan faedah tersebut tanpa membayar pampasan untuk penggunaan jenama dan tanda parti.
Justeru, plaintif menuntut defendan membayar RM10 juta kepada PKR, jumlah alternatif sebanyak RM12 juta selain kos dan lain relif yang dianggap sesuai mahkamah.
Berdasarkan carian melalui e-filing, pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 27 Oktober ini di hadapan Timbalan Pendaftar Norhatini Abd. Hamid. -K! ONLINE