fbpx

Zii Jia mula langkah kanan di Kejohanan Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Dunia selepas menundukkan Leverdez sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila mudah melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun selepas menyingkirkan pemain Perancis, Brice Leverdez.

Pada pusingan pertama yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu, Zii Jia tidak berdepan sebarang masalah apabila memerlukan masa 38 minit untuk mencatat kemenangan straight-set 21-9, 21-13.

Meskipun bermula sedikit perlahan pada set pertama apabila membenarkan Leverdez memaksanya melakukan kesilapan sehingga kedudukan terikat 5-5, namun Zii Jia memperkemaskan permainan untuk menuju ke waktu rehat dengan 11-5.

Kemudian, bekas juara kejohanan Seluruh England (All England) itu tidak menoleh ke belakang lagi apabila terus mengutip mata demi mata sebelum menamatkan set pertama dengan 21-9.

Memasuki set kedua, Leverdez mengekalkan rentak permainan dengan menampilkan aksi agresif sehingga berjaya mendahului 5-1, sekali gus menyebabkan pemain berusia 36 tahun berada dalam tekanan.

Selepas mendahului perlawanan 11-8, Leverdez seolah-olah mendapat semangat baharu apabila menampilkan aksi lebih kemas, namun ia masih belum mampu menghalang Zii Jia melengkapkan kemenangan dengan 21-13.

Hasil kemenangan itu, Zii Jia yang juga juara Asia dijadualkan berdepan pemain tidak ternama, Bernardo Atilano di pusingan kedua selepas pemain Portugal itu mendapat bye. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI