fbpx

Mahkamah: Permohonan peguam dapatkan pernyataan saksi diputuskan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadapi perbicaraan kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan harta. - FOTO: ALIF AHMAD ZUBIR

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan esok bagi memutuskan permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan pernyataan saksi utama pendakwaan yang dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan demikian selepas mendengar penghujahan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Muar itu dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Gobind mengemukakan permohonan itu selepas mahkamah menolak permohonannya untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali pada perbicaraan kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan harta yang dihadapi Syed Saddiq.

Terdahulu Gobind berhujah, pernyataan yang dirakam SPRM itu penting kerana wujud dua senario bercanggah yang diberikan oleh Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung kutipan dana untuk tujuan kempen Syed Saddiq.

Gobind berhujah, Rafiq memberitahu pegawai penyiasat SPRM bahawa wang dalam akaun Armada adalah hasil kutipan dana orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar.

Bagaimanapun, ketika memberi keterangan lisan di mahkamah, saksi pendakwaan ke-13 itu menyatakan dana tersebut dikutip untuk kegunaan Armada.

“Kami mempunyai `firasat’ lebih daripada mencukupi bahawa wujud percanggahan dalam keterangannya namun kami tidak dibekalkan dengan dokumen berkenaan, jadi bagaimana untuk mendapatkan perbicaraan yang adil,” persoal Gobind.

Hujah Gobind, Rafiq mungkin berbohong di mahkamah dan pihak pendakwaan tidak wajar memberi alasan bahawa mereka mempunyai pernyataan yang dirakam oleh SPRM namun tidak boleh memberikannya.

Bagaimanapun, Wan Shaharuddin berhujah agar permohonan itu ditolak atas alasan pihak pembelaan gagal meyakinkan mahkamah bahawa mereka telah memenuhi syarat yang digariskan di bawah Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah.

“Pihak pembelaan sebenarnya berhasrat memancing maklumat daripada pernyataan yang direkodkan oleh SPRM selepas permohonan terdahulu ditolak oleh mahkamah.

“Kita sepatutnya sudah boleh menyudahkan keterangan saksi pendakwaan ini, namun perbicaraan seperti tiada kesudahan,” hujah beliau.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan pasukan pembelaan untuk mencabar kredibiliti Rafiq selaku saksi utama pendakwaan selepas berpuas hati tiada percanggahan yang material di antara keterangan lisannya dengan percakapan yang direkodkan oleh SPRM.

Azhar berpendapat, hanya wujud perbezaan kecil yang tidak terjumlah kepada perbezaan material atau percanggahan yang serius yang memerlukan prosiding mencabar kredibiliti saksi diteruskan.

Pada 25 Julai lalu, beliau mengarahkan pasukan pendakwaan menyerahkan kepada mahkamah salinan rakaman percakapan Rafiq yang direkodkan oleh SPRM pada 2020 lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI