ORLANDO, FLORIDA – Seorang juruterbang terselamat daripada maut dan hanya mengalami cedera meskipun pesawat ringannya terhempas di hadapan sebuah rumah di negeri Florida, Amerika Syarikat.
Menurut laporan akhbar Daily Star, Remy Colin, 40, mengendalikan pesawat jenis Cessna 182 Skylane sebelum terhempas di laluan masuk ke rumah seorang penduduk di Orlando.
Dia juga berjaya mengelak daripada merempuh kenderaan yang lalu-lalang di jalan raya berhampiran sebelum sebatang pokok palma ‘menyelamatkan’ nyawanya dengan menghentikan pesawat.
Rakaman dikongsikan pengguna jalan raya memaparkan pesawat itu mengelak beberapa tiang elektrik sebelum bahagian hadapannya terbenam di dalam tanah di tepi jalan.
“Pada mulanya, kami menyangka pesawat itu hanya terbang rendah, kemudian ia menjadi semakin rendah dan secara tiba-tiba meluncur laju ke arah kami.
“Dalam hanya beberapa saat, ia terbang ke seberang jalan,” kata seorang saksi, Amanda Skuban yang merakam insiden itu.
Peronda Lebuh Raya Florida percaya bahawa kemalangan itu berpunca daripada kegagalan mekanikal. Namun, Colin berkata, penerbangannya terganggu ketika cuba membetulkan radio rosak selain turut kehabisan bahan api ketika melakukan penerbangan penyelenggaraan itu.
Tambahnya, dia memilih untuk cuba mendarat di jalan tersebut bagi mengelak daripada mencederakan orang awam.
Colin yang hanya mengalami lebam-lebam kini digantung lesen penerbangannya kerana pesawat tersebut tidak mempunyai bahan api yang mencukupi.
Dia turut mengaku memberikan kerjasama dalam siasatan yang dijalankan pihak berkuasa. – Agensi