MOSCOW – Kerajaan Russia mendakwa bahawa Alexander Dugin yang merupakan sekutu rapat Presiden Vladimir Putin telah menerima ugutan bunuh daripada kumpulan nasionalis Ukraine sebelum anak perempuannya mati dalam letupan bom kereta kelmarin, lapor portal berita MailOnline.
Dakwaan tersebut timbul selepas Kremlin berdepan desakan untuk membalas dendam terhadap Kiev atas apa yang berlaku.
Tubuh anak perempuan Dugin, Darya Dugina berkecai apabila kenderaan pacuan empat roda Toyota Land Cruiser Prado yang dipandunya meletup di tengah jalan raya dekat Kampung Bolshiye Vyazyomy, pinggir Moscow.
Menurut sumber, bom tersebut sebenarnya ditujukan kepada Dugin, namun sasaran bertukar apabila penasihat perang Putin itu menukar keretanya pada saat akhir.
Kalangan penyokong rapat Putin menuntut tindakan balas dendam ke atas Ukraine susulan tragedi tersebut dengan media Russia menegaskan bahawa Dugin dan Darya pernah menerima ugutan daripada kumpulan nasionalis Ukraine di Donbas.
Kerajaan pimpinan Volodymyr Zelenskyy bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya bahawa Kiev terlibat dalam letupan berdarah itu.
“Kami bukan negara penjenayah seperti Persekutuan Russia, apatah lagi negara pengganas,” tegas Zelenskyy.
Sementara itu, beberapa pakar mendakwa bahawa terdapat kemungkinan ada pihak di Moscow sendiri yang cuba membunuh Dugin.
Sejarawan dan pengarang, Yuri Felshtinsky berkata, teori tersebut bukan mustahil.
“Mengenai laporan terkini Russia, bom itu dipasang pada kenderaan Dugin di pekarangannya yang dikawal.
“Serangan Ukraine pula memberi tumpuan kepada sasaran ketenteraan dan bukan individu.
“Sejujurnya, tiada keuntungan dalam menyerang salah satu boneka media Putin atau memperuntukkan ejen-ejen untuk beroperasi dalam Persekutuan Russia bagi matlamat sedemikian yang tidak membantu untuk pembebasan Ukraine,” kata Fekshtinsky.
Letupan itu berlaku ketika Dugina pulang dari festival kebudayaan yang dihadiri bersama bapanya. – Agensi